Oleh: Amanda Lopez
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu kaji dengan teliti dengan nasihat perundangan sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap syarikat gergasi global META.
Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata MCMC perlu mengenal pasti bentuk siaran atau kandungan dan mereka boleh meminta META membantu pihak berkuasa untuk menghalang daripada sebarang salahguna di platform media sosial seperti Facebook.
“Jika MCMC masih ingin berkeras berkaitan perkara itu dan jika ada tindakan dilakukan tanpa penyelidikan yang betul oleh MCMC berkaitan perkara ini, ia mungkin boleh mengundang tindakan undang-undang balas oleh pihak berkenaan kepada MCMC mahupun pada META.” katanya dalam satu rakaman audio kepada Buletin TV3.
Jelasnya lagi “Jika elemen Kaum, Institusi Diraja, Agama (3R) yang dimuatnaik dalam laman media sosial itu adalah ilmiah, maka itu tidak boleh dihalang kerana ia akan menjadi satu halangan kepada bersuara yang melanggar Perkara 10 Perlembangaan Persekutuan.”
Mengenai aspek penyamaran, judi dalam talian serta iklan penipuan yang turut menjadi fokus MCMC, beliau berkata META disaran berbincang dengan pihak berkuasa untuk melihat cara mengatasi masalah ini kerana membabitkan unsur jenayah dan menyalahi undang-undang Malaysia.
Katanya sebelum ini, Telegram telah dihubungi oleh pihak MCMC dan pihak Telegram telahpun mengadakan beberapa rundingan dan mengambil kira langkah-langkah untuk membantu pihak berkuasa berkaitan isu-isu jenayah ini.
MCMC mengeluarkan satu kenyataan hari ini mengenai pertimbangannya untuk ambil tindakan perundangan terhadap META.
Pihak berkuasa itu memaklumkan pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta, syarikat induk Facebook, susulan kerjasama tidak memadai daripada Meta untuk menurunkan kandungan memudaratkan daripada platformnya.