KUALA LUMPUR: MBSB Bank Bhd (MBSB Bank) memberi komitmen penuh terhadap tahap akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi dengan menandatangani Ikrar Integriti Korporat.
Pemeteraian ikrar itu menunjukkan bank berkenaan menyokong prinsip pencegahan rasuah untuk perbadanan di Malaysia dan ia mengekalkan toleransi dasar sifar rasuah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib, berkata sebagai institusi kewangan Islam, pihaknya sedar bahawa tanggungjawab yang dipegang dan memupuk nilai murni termasuk integriti.
Beliau berkata, pihaknya juga telah melaksanakan banyak langkah proaktif untuk menginstitusikan budaya integriti termasuk ketelusan dalam urusan perniagaan, pematuhan ketat terhadap perundangan dan peraturan serta standard beretika tinggi.
“Majlis ini adalah satu inisiatif yang menunjukkan kesungguhan dan komitmen kakitangan MBSB Bank dalam memerangi rasuah dan mengamalkan tadbir urus yang baik dalam kerja harian kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat diadakan di Menara MBSB Bank, PJ Sentral dan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
MBSB Bank, adalah bank Islam sepenuhnya di Malaysia yang menyediakan kemudahan perbankan patuh syariah kepada pelanggan runcit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat.
Ia juga melalui keupayaan digitalnya, meluaskan saluran pengedarannya melalui perkhidmatan dalam talian seperti perbankan mudah alih dan cawangan maya.
Bank itu juga menawarkan produk standard industri seperti e-dompet MBSB Bank, yang mana ia adalah e-dompet patuh syariah pertama negara.
Pada masa sama, MBSB Bank berhasrat untuk memberi kesan positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar dengan menerima pakai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dalam operasinya serta menyediakan pembiayaan hijau kepada pelanggannya.
Menuju ke hadapan, bank itu bersedia untuk mencapai pencapaian utamanya, iaitu menjadi institusi kewangan Islam yang matang sepenuhnya menjelang 2025 atau dijenamakan sebagai Journey25 (J25). – BERITA HARIAN