KUALA LUMPUR: Mentri Besar, Trengganu (Incorporated) (MBI) dan Petronas Gas Bhd (PGB) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka potensi kerjasama berkaitan dengan cadangan pembangunan loji jana kuasa hidro mini serta cadangan pengurusan operasi dan penyenggaraan terminal di Terengganu.
Menurut MBI, pemeteraian MoU ini menandakan langkah awal kerjasama antara MBI dan PGB bagi mengukuhkan pembangunan ekonomi di Terengganu dan kedua-dua pihak akan membuat penilaian bersama ke atas kebolehlaksanaan kedua-dua cadangan pembangunan tersebut.
“Pembangunan loji jana kuasa hidro kecil yang dicadangkan melalui anak-anak sungai di daerah Dungun adalah seiring dengan teras strategik Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu pengukuhan infra, pemerkasaan teknologi hijau dan pengawalan impak bencana,” jelasnya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
MBI memaklumkan projek tersebut dilihat sebagai penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) yang kritikal dalam menjadi solusi cabaran bekalan elektrik terutama bagi kawasan luar bandar yang terpencil.
“Bagi cadangan kerjasama pengurusan, operasi dan penyenggaraan terminal oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terenganu pula, ia dilihat sebagai satu langkah strategik dan berimpak.
“Jika dapat direalisasikan dengan jayanya akan membuka ruang pemerkasaan ekonomi bukan sahaja buat organisasi terlibat, malah juga komuniti setempat melalui penawaran peluang pekerjaan dan perkongsian kemahiran teknikal,” tambah MBI.
MoU tesebut ditandatangani Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Pegawai Kewangan merangkap Penasihat Kewangan kepada Menteri Besar Terengganu, Muhammad Ramizu Mustaffa yang mewakili MBI.
Sementara itu PGB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Aziz Othman serta Pengurus Besar Kanan, Pemprosesan Gas dan Utiliti, M Nazir M Nor.
Pemeteraian itu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Tengku Seri Bijaya berkata beliau yakin kerjasama ini akan membuka peluang baharu dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu, sejajar dengan matlamat pelan jangka masa panjang PITAS 2030.