KUALA LUMPUR: Maybank memperkenalkan kemudahan pembiayaan kenderaan bersepadu pertama seumpamanya untuk pelanggan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid merangkumi pelbagai aspek termasuk kemudahan pembiayaan holistik, perlindungan insurans dan takaful serta keistimewaan pengecasan.
Ini selaras dengan aspirasi kumpulan untuk menjadi peneraju kemampanan di rantau ini dengan memenuhi komitmen mengagihkan sasaran yang disemak semula baru-baru ini sebanyak RM80 bilion bagi pembiayaan mampan kepada pelanggan menjelang 2025 serta mencapai kedudukan neutral karbon menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata tawaran ini tepat pada masanya dan mempamerkan komitmen kukuh kumpulan terhadap kemampanan dan pada masa sama memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berubah di mana mereka menjadi semakin peka terhadap alam sekitar.
“Selain itu, inisiatif kami juga menyokong visi kerajaan untuk meningkatkan bahagian pasaran EV kepada 38 peratus menjelang 2040 melalui Aspirasi Karbon Rendah Negara di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Maybank Islamic akan menjadi penyedia kewangan pertama negara yang memulakan landskap infrastruktur pengecasan EV setelah memasang stesen pengecas EV di Dataran Maybank, Kuala Lumpur Golf & Country Club dan Hotel Mandarin Oriental di Kuala Lumpur.
Di samping itu, Maybank Islamic menyasarkan untuk memasang beberapa lagi stesen pengecas EV di Lembah Klang dan negeri lain di Semenanjung Malaysia menjelang Disember 2024 untuk membantu mengukuhkan lagi ekosistem dan menggalakkan penggunaan EV serta hibrid.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata ini adalah sebahagian daripada usaha bank untuk menggalakkan penggunaan EV serta menyediakan lebih banyak stesen pengecasan untuk kemudahan pemilik kenderaan sedemikian.
Tambahan juga, katanya pelanggan boleh menikmati pelbagai ganjaran dan faedah daripada program keahlian pembiayaan Kenderaan Elektrik Maybank Islamic, InCharge, yang menyediakan rebat apabila menggunakan stesen pengecasan milik Maybank Islamic dan semua stesen pengecasan lain melalui aplikasi ParkEasy.
“Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat, dan selaras dengan misi kumpulan untuk ‘Menginsankan Perkhidmatan Kewangan’, Maybank Islamic akan memperuntukkan hasil yang dikutip daripada penggunaan stesen pengecasan EV untuk disumbang kepada inisiatif impak sosial yang telah dikenal pasti,” katanya. — BERITA HARIAN