comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Maybank catat untung bersih RM5.02 bilion pada separuh pertama 2024

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli (kiri), Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir Zamzamzairani Mohd Isa (tengah) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Khalijah Ismail ketika mengumumkan prestasi kewangan suku kedua dan separuh pertama 2024 Maybank

Oleh: Suzila Idayu Yaacob 

KUALA LUMPUR: Maybank meraih keuntungan bersih lebih tinggi, meningkat sembilan peratus kepada RM5.02 bilion bagi separuh pertama 2024 manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 7.2 peratus kepada RM6.89 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata prestasi itu didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam pendapatan bukan faedah (NOII) dan hasil daripada fi teras yang lebih tinggi.

Prestasi insurans yang bertambah baik serta peningkatan dalam perbendaharaan dan keuntungan pasaran juga turut menyokong pertumbuhan kumpulan terbabit.

“Strategi kumpulan adalah memainkan peranan secara menyeluruh termasuk membabitkan ekosistem di luar perbankan. Oleh itu, dalam situasi ini Maybank akan memanfaatkan pelbagai inisiatif termasuk tambah nilai kepada apa yang diperlukan oleh pelanggan,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan suku kedua dan separuh pertama 2024 Maybank, hari ini.

Katanya, pendapatan operasi bersih bagi setengah tahun pertama turut meningkat 9.4 peratus kepada RM14.92 bilion.

Ini disebabkan peningkatan 28.4 peratus dalam NOII kepada RM5.15 bilion, dirangsang oleh pertumbuhan kukuh dalam fi teras yang meningkat 16.5 peratus.

Bagi suku kedua 2024 pula, keuntungan bersih Maybank meningkat 8.2 peratus kepada RM2.53 bilion.

Sementara itu, Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir Zamzamzairani Mohd Isa berkata prestasi kewangan kumpulan menunjukkan Maybank kekal berdaya tahan meskipun dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Ujarnya, inisiatif strategik M25+ Maybank berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang muncul dan memacu pertumbuhan yang mampan.

Katanya, kumpulan juga yakin bahawa asas kukuh akan membolehkan Maybank memberikan nilai yang konsisten kepada pemegang berkepentingan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini