![](https://media.buletintv3.my/2023/07/CMS-PP-97.jpg)
KUALA LUMPUR: Subsidiari milik penuh Maybank Asset Management Group (MAMG), Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) menjangka mampu mencapai sasaran akhir tahun sebanyak RM100 juta aset di bawah pengurusan (AUM) untuk MAMG Global Dividend Fund yang baru dilancarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAM Ahmed Muzni Mohamed berkata dana itu diasaskan dengan kerjasama JP Morgan Asset Management, salah satu daripada pengurus pelaburan terkemuka dunia, dengan US$2.67 trilion atau kira-kira RM12.45 trilion dalam AUM.
Dana tersebut merupakan dana pengantara yang bertujuan untuk mencapai pertumbuhan modal serta pendapatan, melalui pelaburan dalam Dana Pelaburan JPMorgan-Global Dividend Fund, yang diuruskan oleh JP Morgan Asset Management (Eropah).
“Dana ini disasarkan kepada semua pelabur serta tidak tertumpu ke mana-mana segmen tertentu. Kami sentiasa menasihati pelanggan kami untuk memegang pelaburan portfolio dan bukan hanya pelaburan khusus bagi mengurangkan risiko pelaburan mereka dan turun naik pasaran.
“Dana semua keadaan serba baharu ini bertujuan bagi menyampaikan hasil dividen yang unggul tetapi konsisten dengan peluang asas yang menarik untuk pertumbuhan pendapatan dalam jangka panjang,” katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran Global Dividend Fund MAMG di sini hari ini.
Ahmed Muzni juga berkata dana itu dijangka mewujudkan lonjakan minat dalam kalangan pelabur tempatan dan memberi ketenangan kepada mereka yang mahu mengembangkan portfolio pelaburan mereka.
Sementara itu, Ketua Dana Asia Tenggara JP Morgan, Supreet Bhan berkata dana itu bertujuan untuk menyampaikan pendapatan yang konsisten termasuk potensi pertumbuhan modal daripada portfolio saham dividen global berkualiti tinggi yang merentas spektrum hasil.
“Mandat dana adalah mengenal pasti syarikat yang membayar dividen, satu ciri yang menjadi bukti kepada kunci kira-kira serta daya tahan perniagaan berkenaan. Ini kerana jika anda mempunyai masa depan yang menjana wang tunai dan keuntungan iaitu apabila anda mampu membayar dividen,” katanya.
Beliau ketika mengulas mengenai peruntukan portfolio, menegaskan bahawa MSCI All Country World Index menjadi penanda aras yang mana dana tersebut diuruskan secara aktif.
“Ia tidak boleh menyimpang daripada penanda aras kerana pengurusan risiko yang ada tidak membenarkannya bergerak terlalu jauh daripada penanda aras.
“Selain itu, memandangkan penanda aras ini mempunyai peruntukan majoriti di Amerika Syarikat, yang merupakan pasaran saham terbesar di dunia, ia cenderung memiliki peruntukan yang lebih tinggi kepada syarikat-syarikat di AS. Bagaimanapun, ada beberapa nama menarik dari Asia turut wujud dalam portfolio itu,” katanya.