KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.181 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, merosot 9.7 peratus berikutan Cukai Makmur.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasannya (EBITDA) bagaimanapun meningkat 1.6 peratus kepada RM3.938 bilion, didorong oleh hasil yang lebih tinggi.
Syarikat telekomunikasi itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham pada suku keempat tahun kewangan 2022, menjadikan dividen tahun penuh kepada 20 sen sesaham.
“Maxis menutup tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan mencatatkan pertumbuhan merentasi perniagaan pengguna dan perusahaan, kekal di landasan dengan strategi konvergen.
“Berbanding tahun kewangan 2021, syarikat mencatatkan hasil perkhidmatan yang lebih tinggi dengan EBITDA dan aliran tunai bebas operasi yang stabil pada RM3.303 bilion bagi 2022,” kata Maxis dalam satu kenyataan.
Pada 2022, Maxis melabur sebanyak RM1.1 bilion dalam perbelanjaan modal, dengan tumpuan untuk menaik taraf dan membina tapak mudah alih baharu untuk pengembangan 4G dan meningkatkan jejak fibernya ke lebih banyak rumah dan perniagaan.
Hasil perkhidmatan meningkat kepada RM8.336 bilion berikutan pertumbuhan dalam semua segmen perniagaan pengguna dan perusahaan.
Perniagaan pengguna mencatatkan hasil sebanyak RM6.811 bilion, meningkat 4.8 peratus, sementara pasca bayar terus menyaksikan pertumbuhan pelanggan yang kukuh, meningkat 6.5 peratus, menjadikan jumlah langganan pasca bayar kepada 3.34 juta.
Prabayar mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 2.9 peratus dalam langganan, disebabkan migrasi prabayar kepada pasca bayar yang berterusan.
Segmen itu kekal berdaya tahan, dengan pelanggan keseluruhan stabil pada 5.79 juta dan memberikan hasil sebanyak RM2.693 bilion.
Kesalinghubungan kediaman menyampaikan pertumbuhan hasil dua angka, menyumbang RM843 juta, meningkat 16.9 peratus. — BERITA HARIAN