Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] MATTA gesa kerajaan pertimbang semula Cukai Barangan Mewah

 

 

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barangan Mewah pada separuh kedua tahun ini.

Disebalik promosi hebat industri pelancongan tahun ini, MATTA bimbang cukai baharu itu akan menjejaskan kehadiran pelancong ke Malaysia.

Pengerusi Penganjur MATTA Fair, Rocky Kho, berkata pengumuman Cukai Barangan Mewah itu akan menjejaskan industri pelancongan yang sedang berkembang sekarang.

“Saya menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan cukai ini untuk tidak dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada BuletinTV3 apabila ditemui di Persidangan Media MATTA Fair Mac 2023, di sini, hari ini.

MATTA Fair akan diadakan pada 17 hingga 19 Mac 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Manakala, Setiausaha Agung Kehormat, MATTA, Faeez Fadhlillah, berkata walaupun masih awal untuk mengulas tentang cukai ini, tetapi kerajaan perlu memberi perincian bagaimana sistem pencukaian ini akan dilaksana.

“Adakah ia (pencukaian) berdasarkan jenama atau nilai? Selain itu, tidak tahu lagi barangan yang akan dikenakan cukai.

“Pandangan saya kerajaan harus menumpukan pada bayaran balik cukai seperti negara serantau Singapura dan Thailand. Orang ramai boleh mendapatkan bayaran balik di lapangan terbang dan itu adalah sesuatu yang perlu kita lihat untuk menggalakkan lebih banyak pelancong atau perbelanjaan pelancongan dari segi beli-belah,” katanya.

Tambah beliau, statistik menunjukkan segmen beli-belah serta makanan dan minuman adalah penyumbang terbesar sektor pelancongan kepada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Jika salah satu komponen dikenakan cukai, perbelanjaan pelancong akan berkurangan.

Loading...
Terkini