KUALA LUMPUR: MATTA Fair 2023 yang diadakan pada 17 hingga 19 Mac lalu di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) melakar pencapaian tersendiri apabila mencatatkan lebih daripada 180,000 pelanggan dalam masa tiga hari dengan jualan mencecah lebih RM300 juta, yang mana jualan domestik sahaja berjumlah RM34 juta.
Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang, berkata edisi terbaharu MATTA Fair itu, yang disertai 1,416 reruai merangkumi ruang pameran seluas 39,000 meter persegi, diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records sebagai pameran perjalanan antarabangsa terbesar.
Beliau berkata, terdapat 19 pertubuhan pelancongan nasional (NTO), 13 pertubuhan pelancongan negeri (STO) dan 220 pempamer pada pameran itu, dengan kemunculan beberapa destinasi baharu seperti Arab Saudi, Dubai, Uganda, Kyrgyzstan dan Zimbabwe telah meningkatkan kerelevanan Malaysia sebagai pasaran pelancongan yang penting.
Katanya, purata perbelanjaan bagi setiap pelanggan meningkat dalam semua segi pelancongan, menunjukkan masih terdapat permintaan terpendam bagi perjalanan dan pelanggan kekal yakin dengan perbelanjaan masing-masing di sebalik kelembapan ekonomi dunia.
“Kami amat gembira kerana edisi ke-52 ini, yang juga kali pertama diadakan di MITEC, telah mengatasi rekod terdahulu dari segi kapasiti, jumlah pengunjung dan jualan direkodkan.
Kami mencapainya dengan meneroka di luar zon selesa untuk menggunakan venue yang jauh lebih besar serta mengatasi pelbagai halangan untuk memenuhi jangkaan pempamer dan pengunjung.
“MATTA Fair terakhir, yang diadakan pada September 2022 di Pusat Dagangan Dunia, menarik 43,000 pengunjung dan menampilkan 536 reruai,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, bandar-bandar utama bagi tempahan tiket udara antarabangsa adalah London, Melbourne, Osaka, Narita, Bangkok, Incheon, Sydney dan Bali, yang dipacu oleh tawaran tambang menarik.
“MATTA Fair memberikan peluang kepada pelanggan untuk membeli secara terus daripada agensi dan operator pelancongan berlesen. Ini juga satu petunjuk bahawa perniagaan agensi dan operator pelancongan bukan hanya mampan, malah amat relevan dalam dunia moden hari ini,” katanya.