comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MATRADE perkenal logo baharu rai ulang tahun ke-30

KUALA LUMPUR: Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memperkenalkan logo baharu menerusi inisiatif penjenamaan semulanya bersempena meraikan ulang tahun ke-30 agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pengenalan logo baharu itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena majlis pelancaran Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS 2023) di sini, hari ini.

Inisiatif penjenamaan semula MATRADE selaras dengan komitmennya untuk membantu perniagaan Malaysia berkembang di peringkat global.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata perjalanan 30 tahun MATRADE adalah lebih daripada sekadar meraikan masa lalu, tetapi ia adalah bukti dedikasi dalam mengejar kecemerlangan tanpa henti yang telah membentuk agensi itu seperti yang dicapai hari ini.

“Kami menantikan fasa seterusnya dalam perjalanan MATRADE dengan masa depan yang dipenuhi dengan cita-cita yang lebih berani dan pencapaian yang lebih besar,” katanya.

Logo baharu MATRADE menampilkan gabungan huruf ‘M’ dan ‘A’ yang digayakan bagi mewakili sinergi antara sektor awam dan swasta dalam memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Bentuk anak panah dalam huruf ‘A’ mewakili keazaman MATRADE untuk terus cemerlang dalam menjadikan Malaysia sebuah negara perdagangan utama.

Dari segi warna korporat, ‘Mustard’ melambangkan kepelbagaian dan kreativiti MATRADE sebagai sebuah organisasi yang bereputasi, tersusun dan optimis, komited untuk membangunkan ekonomi negara melalui perdagangan.

‘Biru’ pula menandakan keharmonian dan kerjasama yang kukuh antara sektor awam dan swasta dalam memajukan perdagangan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, penjenamaan semula itu berakar umbi dalam menerima pemilikan, memupuk tanggungjawab serta sikap, nilai dan budaya yang betul.

“Transformasi bermula dengan komitmen yang tegas untuk berubah dan MATRADE komited untuk menjadi organisasi yang lebih mengutamakan pelanggan yang tangkas dan responsif kepada keperluan komuniti perniagaan,” katanya.

Loading...
Terkini