comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MATRADE, MDEC bekerjasama kembangkan syarikat teknologi Malaysia di peringkat global

KUALA LUMPUR: Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan dan mengukuhkan lagi jejak global syarikat-syarikat teknologi Malaysia (MTC).

Ahli Lembaga Pengarah Kanan MATRADE Datuk Hazimah Zainuddin berkata MoU itu bertujuan untuk memudahkan eksport MTC sedia ada melalui usaha bersepadu dalam aktiviti promosi perdagangan dan mengukuhkan jejak global mereka.

“Susulan MoU ini, MATRADE dan MDEC juga akan bekerjasama untuk penyelarasan penyertaan Malaysia di Tokyo Game Show 2023 dari 21 Sept hingga 24 September depan yang akan melihat penyertaan 20 syarikat dalam kandungan kreatif, pembangunan permainan dan penerbitan, pengeluaran penyumberan luar animasi serta pembangunan IP kreatif,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara MATRADE dan MDEC di luar Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) MATRADE di sini hari ini.

Program tersebut diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz dan sambil disaksikan Hazimah.

Hazimah berkata menjadikan Malaysia sebuah negara yang aktif dalam pendigitalan adalah penting, ia termasuk membantu industri meningkatkan teknologi dengan mempercepatkan penggunaan teknologi, memacu syarikat inovasi teknologi generasi seterusnya dan membangunkan peluang perniagaan dengan memanfaatkan sumber data baharu seperti yang digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Sementara itu, Mohd Mustafa dalam satu kenyataan berkata perkongsian itu akan menghasilkan tahap kerjasama yang lebih tinggi antara kedua-dua agensi, seterusnya akan mempercepatkan transformasi teknologi tempatan menjadi pemain global.

“NIMP 2030 memfokuskan pada misi kerajaan untuk perniagaan Malaysia menerima pakai teknologi dan pendigitalan untuk memacu inovasi, meningkatkan produktiviti dan mencipta peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi.

“Justeru itu terdapat keperluan untuk agensi seperti MATRADE dan MDEC untuk menyelaraskan lagi inisiatif berkenaan dan mempromosikannya di luar negara,” katanya.

Loading...
Terkini