comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Mata wang baht tertinggi dalam tempoh tujuh bulan

Mata wang baht Thailand mengukuh berikutan harapan rangsangan sektor pelancongan selepas sekatan COVID-19 di China dilonggarkan

BENGALURU: Mata wang baht Thailand mengukuh berikutan harapan rangsangan sektor pelancongan selepas sekatan COVID-19 di China dilonggarkan, ketika kebanyakan mata wang utama lain hampir tidak berubah menjelang minit mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Baht meningkat empat sesi berturut-turut, menokok 0.8 peratus ke paras tertinggi sejak 31 Mei tahun lalu.

Thailand menjangkakan sekurang-kurangnya lima juta pelancong China akan tiba tahun ini apabila republik itu membuka semula sempadannya, langkah yang akan terus merangsang ekonomi negara Asia Tenggara itu dan sektor pelancongannya yang penting.

Namun, kemungkinan satu lagi gelombang COVID-19 tidak boleh ditolak, kata ahli strategi pasaran Krung Thai Bank, Poon Panichpibool.

“Ini akan menyebabkan lebih banyak tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan jika kerajaan tidak bersedia sepenuhnya,” katanya sambil menambah senario sedemikian akan merangsang pengambilan untung terhadap aset Thailand.Dolar Singapura stabil selepas meningkat 0.3 peratus. Ia mata wang serantau mencatatkan prestasi terbaik pada 2022, disokong oleh campur tangan fiskal proaktif oleh pihak berkuasa monetari.

Yuan China berada hampir ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan berbanding dolar AS hari ini, dirangsang oleh jangkaan pelabur lebih banyak sokongan dasar untuk merangsang ekonomi.

Dolar AS tidak menentu dalam jam dagangan Asia, susut 0.22 peratus selepas mencatatkan kenaikan 0.22 peratus semalaman.

Minit daripada mesyuarat Fed pada Disember, apabila ia memberi peringatan bahawa kadar faedah perlu kekal tinggi lebih lama, akan dikeluarkan semasa waktu perniagaan AS dan akan digunakan untuk mendapatkan petunjuk sama ada lebih banyak langkah memperketatkan dasar mungkin dilaksanakan.

Kebanyakan mata wang negara Asia pesat membangun kekal tidak berubah, dipengaruhi oleh kebimbangan unjuran kelembapan global.Rupiah Indonesia susut 0.1 peratus dan won Korea Selatan jatuh 0.3 peratus.

Ringgit hampir tidak berubah selepas data awal hari ini menunjukkan penguncupan selanjutnya aktiviti pengeluaran pada Disember. – Reuters

Loading...
Terkini