KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) merancang untuk berganding bahu dengan pembuat kenderaan elektrik (EV) Amerika Syarikat (AS) Tesla dan pihak berkepentingan industri lain bagi mengubah Malaysia menjadi hab untuk teknologi hijau dan inovasi tenaga bersih.
Kepakaran Tesla dalam teknologi EV, pemanduan autonomi dan amalan pembuatan mampan memberikan peluang yang tiada tandingan untuk pemindahan pengetahuan dan pembangunan kemahiran di Malaysia, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii Nizmar Mohd Nazar.
Beliau berkata pelan tindakan mobiliti rendah karbon Malaysia dan Dasar Tenaga Negara akan memacu peralihan kepada teknologi hijau dan tenaga bersih, dan turut memuji komitmen CEO Tesla, Elon Musk, kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melabur di negara ini semasa mesyuarat maya mereka pada 14 Julai.
“Pelaburan dan operasi Tesla di Malaysia berpotensi untuk memangkin penggunaan EV dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan objektif tenaga bersih negara yang lebih luas dan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan karbon,” katanya semasa temu bual di program ‘The Brief’ Bernama TV baru-baru ini.
Nizmar yakin bahawa hala tuju dan inisiatif strategik yang digariskan dalam teknologi hijau Malaysia dan dokumen dasar tenaga bersih akan mengukuhkan kesan kehadiran dan pelaburan Tesla dalam sektor automotif Malaysia.
Ini khususnya untuk masa depan pembangunan berteknologi tinggi di bawah ekosistem Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) yang akan merangsang pemindahan teknologi, meningkatkan industri tempatan, dan membangunkan pengetahuan untuk industri automotif tempatan di Malaysia, katanya.
Beliau berkata kerjasama itu dijangka memupuk budaya inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi hijau, sekali gus meningkatkan keupayaan teknologi Malaysia dan memacu pertumbuhan ekonomi dan daya saing jangka panjang negara dalam pasaran global.
Dengan kemasukan Tesla, beliau berkata MARii dapat membayangkan kemajuan teknologi dalam pelbagai sektor, dengan tumpuan khusus pada NxGV dan mobiliti elektrik, penyelesaian pengangkutan mampan dan amalan pembuatan termaju.
Pada masa yang sama, ia juga akan memberi inspirasi kepada pembuat kereta dan syarikat teknologi tempatan untuk melabur lebih banyak dalam R&D EV.
Dari segi teknologi automotif, teknologi EV dan bateri canggih Tesla berkemungkinan memacu anjakan paradigma ke arah pengangkutan yang mampan. – BERNAMA