Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia wajar pertimbang umur persaraan 66 tahun – Pakar antarabangsa 

Dr Stephen Kidd semasa membentangkan laporan kajian sistem persaraan Malaysia.

SHAH ALAM: Malaysia wajar mempertimbangkan secara serius cadangan meningkatkan umur persaraan pekerja di negara ini kepada 66 tahun.

Perkara ini ditekankan Pakar Kanan Dasar Sosial, Development Pathways Ltd, Dr Stephen Kidd dalam kajian terperinci yang dibuat mengenai sistem persaraan Malaysia.

Tambahnya, ini juga selari dengan kedudukan Malaysia yang menuju ke arah menjadi negara menua.

“Seperti di United Kingdom telah memansuhkan had umur pencen. Mereka mendapat ganjaran pencen, dan kembali bekerja. Jadi saya fikir, kemungkinan tidak ada masalah untuk meningkatkan had umur. Ramai juga akan menghargai. Lebih banyak simpanan yang boleh dibuat, lebih tinggi jumlah yang mereka boleh menikmati pada hari tua,” katanya selepas membentangkan laporan kajiannya di ibu negara.

Kidd juga percaya peningkatan umur persaraan ini tidak akan menjejaskan keupayaan golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan kerana di Malaysia, masih terdapat banyak keperluan tenaga kerja.

“Antara Malaysia perlu meningkatkan populasi rakyat atau memerlukan warga asing untuk memenuhi pekerjaan. Untuk itu, wajar untuk mengekalkan mereka yang berumur dalam tenaga buruh dalam masyarakat penuaan di Malaysia.

“Jadi perlu ada satu peralihan kerana akan ada lebih banyak pekerja akan datang. Perlu selaraskan peningkatan had umur, pastikan lebih banyak pekerja mendapat pekerjaan.

“Malaysia memerlukan pekerja berkemahiran tinggi. Mereka berumur 60, 65 tahun, tidak berkemahiran tinggi dan perlu kekalkan mereka bekerja dan kamu boleh peruntukkan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada golongan muda yang baru sahaja menceburi pekerjaan,” katanya.

Mengulas mengenai perlindungan sosial, usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran juga perlu ditingkatkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia juga jelasnya, wajar memperkenalkan Skim Pencen Universal daripada hasil kutipan cukai, untuk memberi pendapatan sama rata minimum kepada setiap pesara.

Malaysia jelasnya, agak ketinggalan untuk melaksanakan skim ini kerana banyak negara di Asia telah melaksanakannya.

“Boleh mula diberi pencen pada umur 75 atau 70 tahun dan kurangkan beberapa tahun hingga 65 tahun. Fikirkan jumlah minimum yang anda mahu berikan, boleh beri sekurang-kurangnya RM500 iaitu kadar yang diberi kepada kumpulan susah sedia ada,” katanya lagi.

Loading...
Terkini