Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia, Vietnam wajar pertingkat dagangan dua hala – Duta

BANGKOK : Malaysia dan Vietnam harus memanfaatkan semua inisiatif termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk meningkatkan perdagangan dua hala, kata Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.

Beliau berkata RCEP dimeterai pada Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-37 yang dihoskan Vietnam pada tahun 2020.

Penubuhan RCEP meletakkan rantau Asia Pasifik sebagai pusat graviti baharu perdagangan global dengan jumlah perdagangan dijangka meningkat hampir US$42 bilion.

Sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar dunia dengan pasaran meliputi 15 negara dan merangkumi 2.2 bilion penduduk dunia, negara anggota menyertai perdagangan global dan ekosistem pelaburan serta meraih manfaat daripada ketiadaan kira-kira 90 peratus tarif dalam kalangan negara anggota.

Tan optimis hubungan bilateral serta multilateral Malaysia dan Vietnam akan terus berkembang khususnya dalam rangka ASEAN.

“Vietnam merupakan rakan strategik Malaysia khususnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

“Vietnam kekal sebagai antara destinasi paling menarik bagi pelabur asing terutamanya pelabur dari Malaysia. Dengan ekonomi yang berkembang maju, jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Vietnam sentiasa meningkat sejak beberapa tahun ini.

“Pelabur dari Malaysia juga berminat untuk bekerjasama dengan Vietnam dalam bidang berpontesi tinggi seperti pertanian, produk akuakultur, produk halal, makanan proses dan produk serta komponen elektronik,” katanya pada satu wawancara bersama Radio Suara Vietnam (VOV) (The Voice of Vietnam) sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-Vietnam.

Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Vietnam pada 30 Mac 1973.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam telah menyaksikan peningkatan yang ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2022, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara telah mencatat US$19.44 bilion.

Sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Vietnam, Tan berkata Kedutaan Malaysia di Vietnam akan mengadakan pelbagai aktiviti. – BERNAMA

Loading...
Terkini