Oleh: Afrina Romzi
BANGI: Malaysia dan Thailand memperkukuhkan kerjasama dalam industri getah bagi memastikan urusan perdagangan yang mematuhi piawaian kemampanan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata hal ini kerana Malaysia telah memulakan eksport getah mampan dan berharap negara dagang lain dapat memberi komitmen yang sama.
“Jadi kita ada kerjasama dan saya maklumkan kepada rakan sejawat Thailand bahawa Malaysia ingin menumpukan pengeksportan getah yang mampan.
“Untuk itu, apabila kita membeli getah dari Thailand ini, maka mereka juga kena memenuhi piawaian kemampanan ini. Kalau tidak susah untuk kita meneruskan perdagangan,” katanya apabila ditemui media pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2024, hari ini.
Terdahulu, Malaysia dan Thailand mengesahkan komitmen untuk memperkukuh pelaburan dan perdagangan dua hala melalui Pasukan Petugas Bersama Perdagangan dan Pelaburan, dengan sasaran AS$30 bilion menjelang 2027.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman berkenaan getah antara Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dan Pemangku Gabenor Pihak Berkuasa Getah Thailand, Sukatus Tarngwiriyakul.
Johari berkata Malaysia mengimport getah asli dan produk getah dari Thailand berjumlah AS$950 juta, manakala Malaysia hanya mengeksport AS$105 juta.
“Jadi banyak produk-produk getah ini kita import, tetapi kita eksport semula ke luar negara. Jadi macam kita punya sarung tangan getah dan banyak produk getah kita yang eksport.
“Sebab itu kedua-dua negara ini mesti ada piawaian kemampanan. Kalau dapat diusahakan, Thailand dan Malaysia akan dapat manfaat bersama,” jelasnya.
Dalam pada itu, Malaysia akan menumpukan langkah untuk membaik pulih 420,000 hektar ladang getah terbiar menerusi agensi-agensi kerajaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.