Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Malaysia terus menjadi destinasi tumpuan untuk pelaburan asing dengan kedudukan ekonominya yang terus mengukuh.
Fahmi Fadzil selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, terbaharu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menyatakan komitmen mereka untuk meningkatkan pelaburan dalam negara.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah umum sebelum ini bahawa beberapa pihak termasuk Abu Dhabi Investment Authority ataupun ADIA berhasrat untuk meningkatkan jumlah pelaburan dan susulan kepada pengumuman itu, kita ada membaca tentang pengumuman tambahan pelaburan ke dalam sebuah syarikat Malaysia yang bernama Yinson (Yinson Holdings Bhd).
“Ini sudah pasti menunjukkan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi yang “preferred destination for foreign investment” termasuk oleh badan-badan seperti ADIA dari Emiriah Arab Bersatu (UAE),” ujarnya.
Tambahnya, Perdana Menteri meneruskan lawatan kerja rasminya ke United Kingdom pada hari ini.
“Hari ini, Perdana Menteri berada di United Kingdom sempena lawatan kerja rasmi dan akan bertemu dengan Keir Starmer.
“Selepas itu beliau akan ke Brussels pada 19 Januari untuk bertemu dengan Perdana Menteri Belgium dan juga Presiden European Commission dan akhir sekali beliau akan ke Davos untuk World Economic Forum dan akan kembali ke tanah air pada 23 Januari,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.