Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Malaysia menerajui pasaran tawaran awam permulaan (IPO) di Asia Tenggara tahun ini selepas kali terakhir pencapaian itu direkodkan pada 2012.
Ia berdasarkan tiga indikator utama iaitu jumlah IPO, dana diraih serta permodalan pasaran.
Rakan Kongsi Sokongan Perakaunan Transaksi, Deloitte Malaysia, Wong Kar Choon berkata prestasi itu disokong petunjuk ekonomi yang positif, kestabilan politik, dan penyertaan pelabur yang aktif terutamanya pelabur asing.
“Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia telah banyak membantu mempercepatkan tempoh kelulusan IPO di Pasaran Utama dan Pasaran ACE kepada tiga bulan. Sudah tentu saya perlu menekankan, tiga bulan untuk diluluskan ini, kualiti dokumen mestilah berkualiti tinggi,” katanya pada taklimat media Pasaran IPO Asia Tenggara, hari ini.
Setakat ini, Malaysia telah menyaksikan 46 IPO, tertinggi sejak 2006, diikuti oleh Indonesia pada 39 IPO dan Thailand mencatatkan 29 IPO.
Malaysia juga meraih dana IPO berjumlah AS$1.54 bilion, tertinggi sejak 2017, diikuti Thailand pada AS$756 juta dan Indonesia pada AS$368 juta.
Manakala permodalan pasaran Malaysia mencecah AS$6.6 bilion, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan tertinggi dicatatkan sejak 2013. Ia sekaligus menyumbang 51 peratus dalam permodalan pasaran ASEAN, diikuti Thailand pada 23 peratus.
Tambah Wong, pihaknya optimistik bahawa Malaysia akan meneruskan momentum memberangsangkan ini pada tahun 2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.