Oleh: Suzila Idayu Yaacob
KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama di dunia menawarkan bayaran zakat menggunakan aset digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, ini antara inisiatif untuk membimbing umat Islam tentang tanggungjawab zakat dalam era teknologi ‘blockchain’ dan mata wang kripto.
Revolusi yang diasaskan oleh PPZ-MAIWP ini juga antara inisiatif terbaharu untuk memudahkan pembayaran zakat secara lebih efisien.
Ini memandangkan nilai aset digital yang dimiliki rakyat Malaysia dilaporkan mencecah RM16 bilion dan ia wajib dizakatkan.
“Antara yang berumur 18 hingga 34 tahun ni, seramai 54.2 peratus daripada keseluruhan pelabur terlibat dalam dunia kripto. Oleh sebab itu kita melihat ini adalah satu sumber zakat baru, sumber kekayaan baru terutama bagi golongan muda,” katanya kepada Buletin TV3.
Katanya, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-134 lalu turut memutuskan mata wang digital adalah komoditi yang diniagakan dengan zakat perniagaan dikeluarkan pada kadar 2.5 peratus.
“Transformasi dalam pelaksanaan ibadah melalui medium digital menjadi
bukti bahawa Islam terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa umatnya,” katanya.
Untuk rekod, kutipan zakat aset digital meningkat 73 peratus dengan kutipan sebanyak RM25,983.91 pada 2023, manakala untuk tahun ini sekitar RM44,991.97.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.