Oleh Suzila Idayu Yaacob
PUTRAJAYA: Malaysia harus mengutamakan pelaburan dalam ekonomi perak atau ‘silver economy’ untuk membina infrastruktur dan memangkin inovasi dalam teknologi bagi memenuhi keperluan populasi yang semakin tua.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan juga berhasrat untuk menerajui pertumbuhan ekonomi mampan, inklusif, produktif dan fleksibel tanpa meminggirkan mana-mana pihak terutama pesara.
“Kerajaan bersama-sama dengan agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan, serta pihak swasta, pemain industri, badan bukan Kerajaan dan juga persatuan-persatuan akan terus berganding bahu dalam usaha merancakkan ekonomi perak.
“Ini sekaligus membantu merangka pelan tindakan yang komprehensif untuk mempelopori kaedah terbaik dalam mengendalikan negara apabila Malaysia beralih menjadi negara menua pada masa akan datang,” katanya dalam ucapannya pada Anugerah MyPesara KWAP 2024 di Putrajaya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican.
Katanya, potensi warga tua sebagai salah satu pemacu ekonomi masih belum diterokai sepenuhnya.
Keadaan ini menyebabkan warga emas terdedah kepada risiko kemiskinan kerana
tiada pendapatan tetap selepas bersara.
Justeru, kerajaan komited memperkasa ekonomi perak yang merangkumi aktiviti ekonomi dan peluang pasaran berkaitan populasi warga tua.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa komposisi populasi
Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas serta 65 tahun ke atas terus meningkat dari tahun ke tahun.
Pada tahun 2024, komposisi penduduk berumur 60 tahun ke atas telah meningkat kepada 11.6 peratus berbanding 11.3 peratus pada tahun 2023.
Bagi penduduk berumur 65 tahun ke atas, komposisinya meningkat kepada 7.7 peratus berbanding 7.4 peratus pada tahun 2023.
Dalam tempoh kurang tujuh tahun iaitu 2030, Malaysia dijangka mencapai status negara menua apabila 15 peratus jumlah penduduk ialah warga emas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.