Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia perlu kekal neutral hadapi ketidaktentuan dasar AS – Penganalisis

Oleh: Afrina Romzi

BANGI: Malaysia perlu mengekalkan pendirian berkecuali serta terus mengukuhkan jaringan perdagangan terbuka sebagai langkah terbaik menghadapi ketidaktentuan global, khususnya dasar luar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Profesor Hubungan Antarabangsa, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kuik Cheng Chwee berkata, sejak 1971, Malaysia telah mengamalkan dasar berkecuali demi memelihara kestabilan perdagangan, keselamatan dan hubungan diplomatik.

“Dari perspektif global, interaksi kuasa besar antara AS dan China akan terus berlanjutan, sama ada Trump kekal atau tidak. Justeru, Malaysia perlu teguh dengan dasar neutral yang diamalkan,” katanya dalam Bicara Persada Trump dan Dunia: Implikasi Terhadap Malaysia di UKM, hari ini.

Program itu dianjurkan oleh Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) dengan kerjasama IKMAS serta Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM.

Sehingga kini, Trump bukan sahaja mengenakan tarif 10 peratus terhadap China, malah turut mengenakan cukai import 25 peratus ke atas rakan sekutunya, Mexico dan Kanada.

Malaysia bagaimanapun tidak terkesan secara langsung, sebaliknya meraih manfaat daripada ketegangan perdagangan antara kuasa besar melalui peningkatan kemasukan pelaburan asing.

Namun, pakar tidak menolak kemungkinan tindakan agresif Trump diperluaskan ke Asia, terutama membabitkan isu Laut China Selatan dan Selat Taiwan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini