Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Malaysia masih perlu bersama blok ekonomi BRICS untuk memastikan jaminan dasar yang teguh dalam menghadapi landskap ekonomi global yang mencabar.
Ini meskipun terdapat ancaman luar seperti Presiden Amerika Syarikat (AS) dipilih, Donald Trump yang mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus kepada negara anggota BRICS, sekiranya melancarkan sistem kewangan baharu yang dijangka melemahkan dolar AS.
Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata negara anggota BRICS belum mencapai kesepakatan untuk mewujudkan mata wang tunggal BRICS pada sidang kemuncak Oktober lalu.
Tambahnya, dalam menghadapi ketidaktentuan dan perang dagang global, Malaysia juga perlu mempelbagaikan rakan dagang menerusi platform multilateral sedia ada.
“Kita juga ada platform multilateral Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Saya fikir GCC ini sangat penting, hubungan antara Malaysia-GCC terutama dengan negara Emiriah Arab Bersatu yang mana kita mempunyai kelebihan operasi dari segi meningkatkan perdagangan khususnya kewangan Islam, industri halal dan sukuk,” katanya kepada BuletinTV3.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan tarif yang tinggi dijangka memberi kesan kepada rakyat AS kerana perlu menanggung harga barangan tinggi.
Tahun lalu sahaja, negara itu mencatatkan defisit imbangan perdagangan AS$785 bilion, mencerminkan kebergantungan tinggi terhadap import untuk memenuhi keperluan domestik.
“Tarif ini hanya akan meningkatkan lagi kos perniagaan dan kos tersebut akan dipindahkan kepada pengguna mereka dan akhirnya akan menghasilkan inflasi yang sudah pasti diharapkan tidak berlaku,” katanya kepada BuletinTV3.
Langkah tarif yang memberi kesan kepada inflasi ini bakal menimbulkan kegusaran dalam sentimen pasaran terutama berkenaan hala tuju Rizab Persekutuan AS terhadap kadar faedah.
Beliau bagaimanapun percaya perkara ini akan dinilai semula menjelang pentadbiran Trump bermula 20 Januari 2025, mengambil kira kesan kepada ekonomi dan pasaran kewangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.