comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia mahu tingkat penggunaan teknologi nuklear secara aman, sasaran nilai industri RM2.4 bilion

(Tengah) Chang Lih Kang pada pelancaran DTNN 2030. – FOTO: Ihsan MOSTI/ Facebook

Oleh: Afrina Romzi

PUTRAJAYA: Malaysia berhasrat mempertingkatkan penggunaan teknologi nuklear secara aman dengan sasaran nilai industri sebanyak RM2.4 bilion.

Matlamat ini mampu dicapai menerusi pelancaran Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) untuk memperkasa daya saing industri, kesejahteraan rakyat serta memulihara sumber asli dan alam sekitar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, berkata dasar nuklear ini dibuat pertama kali di Malaysia selepas 40 tahun teknologi nuklear digunakan secara meluas.

Beliau juga berharap dasar ini dapat menerajui hasrat negara untuk mencapai penggunaan teknologi nuklear sebanyak 40 peratus menjelang 2030, daripada sekitar 20 peratus sekarang.

“Dasar ini juga untuk mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear di negara kita. Dalam nuklear ini kita ada beberapa kategori penggunaan secara aman dan tidak aman. Kita adalah di bawah kategori secara aman, penggunaan secara aman dan di bawah kategori bukan penjanaan kuasa.

“Sekarang tahap teknologi nuklear kita belum mencapai tahap yang sangat cemerlang. Kita juga masih di belakang dari segi ekosistem nuklear (berbanding banyak negara). Tapi dengan adanya dasar yang jelas, selepas ini kita akan tubuhkan jawatankuasa, industri ini dapat dipertingkatkan,” katanya kepada media selepas melancarkan DTNN 2030.

DTNN 2030 turut menggariskan enam sektor utama iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan, makanan dan pertanian, pembuatan peranti dan peralatan, pengurusan alam sekitar dan sumber asli, aplikasi perindustrian serta keselamatan dan sekuriti nuklear.

Tambah beliau, Nuklear Malaysia akan bertindak sebagai agensi penyelaras untuk platform kerjasama nasional termasuk projek strategik berkaitan teknologi nuklear.

Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear Kebangsaan akan ditubuhkan, terdiri daripada pakar teknikal daripada agensi kerajaan, institusi berasaskan negeri, pengawal selia, sektor swasta dan ahli akademik.

Loading...
Terkini