Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk melestarikan sektor mobiliti dan mengurangkan jejak karbon pengangkutan komersial dan persendirian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sektor pengangkutan adalah salah satu penyumbang terbesar kepada pelepasan gas rumah hijau, merupakan bidang kritikal dalam pelan peralihan tenaga negara.
“Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam mempromosikan kenderaan elektrik (EV), membangunkan infrastruktur pengecasan, dan menggalakkan amalan mampan dalam sektor automotif.
“Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM4.95 bilion kepada PETRA untuk memacu agenda transformasi tenaga dan air negara,” katanya dalam ucapan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024) hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata inisiatif utama di bawah peruntukan Belanjawan 2025 termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pemeteran Tenaga Bersih, Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), serta pembangunan 3,171 stesen pengecas EV seluruh negara.
Katanya, KLIMS 2024 menjadi platform untuk menyaksikan kemajuan dalam teknologi automotif.
“Visi ini diperkukuhkan oleh kerjasama serantau Malaysia melalui inisiatif Grid Kuasa ASEAN, selaras dengan peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memastikan masa depan tenaga yang mampan,” katanya.
Tambah beliau, misi PETRA untuk mencapai sifar pelepasan karbon bersih menjelang 2050 diterjemahkan dengan komitmen teknologi canggih seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), penyimpanan hidro pam, dan Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) yang sedang dipertimbangkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.