Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang giat mengumpul data jejak sawit melibatkan syarikat perladangan dan pekebun kecil di seluruh negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata langkah ini bertujuan memastikan proses dan sumber sawit keluaran tempatan memenuhi piawaian kemampanan domestik dan antarabangsa.
Data jejak komoditi ini penting bagi pematuhan Piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) serta Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
“Minyak sawit ini bukan sahaja diperlukan dalam bentuk mentah atau olein, tetapi juga untuk oleokimia. Produk yang tidak berasaskan minyak masak, seperti coklat, juga memerlukan sumber dari kelapa sawit mampan.
“Jika sumbernya tidak mampan, seluruh industri mungkin tidak mahu membeli,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama antara FGV Holdings Bhd dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini.
Memorandum berkenaan bertujuan memperkasa pekebun kecil dalam pematuhan piawaian kemampanan dengan penggunaan teknologi terkini.
Beliau turut memaklumkan, Malaysia mengeksport 15 juta tan minyak sawit setahun, manakala empat juta tan digunakan untuk pasaran domestik.
Menurutnya, syarikat perladangan besar perlu mematuhi piawaian EUDR menjelang akhir tahun ini, manakala pekebun kecil diberi tempoh sehingga 30 Jun 2026.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.