KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan loT Malaysia (MARii) komited untuk mewujudkan industri kenderaan elektrik (EV) yang kompetitif dan mampan dengan tumpuan utama kepada pembangunan teknologi, vendor dan tenaga kerja di Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Nizmar Mohd Nazar berkata selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), MARii berhasrat untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai neutraliti karbon pada 2050.
“EV adalah penyelesaian ideal bagi kenderaan mobiliti rendah karbon dan pelepasan sifar. Tambahan pula, industri EV global yang semakin pesat membangun menyediakan ruang yang besar untuk pertumbuhan, khususnya di ASEAN yang berpotensi untuk menjadi hab pembuatan dan pasaran bagi EV.
“Di Malaysia, komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan kita untuk menarik pelaburan EV dan mencapai sasaran negara iaitu 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk EV menjelang 2030 adalah bukti keazaman kita dalam membentuk masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan,” katanya dalam ucapan beliau pada pelancaran rasmi Ekspo Motor Antarabangsa Malaysia (MIME) dan International Automodified (IAM) 2023 di sini, hari ini.
IAM-MIME 2023 yang disokong oleh MARii akan diadakan dari 27-29 Okt 2023 dan bakal mempamerkan kenderaan, produk, inovasi dan pembangunan terkini dalam teknologi automotif oleh pemegang kepentingan automotif, pengedar kereta/motosikal dan pengeluar peralatan tulen (OEM).
Apa yang menjadikan IAM-MIME 2023 unik adalah ia menggabungkan tiga genre automotif di bawah satu bumbung iaitu pameran pengeluar kereta legasi kereta baharu dan jenama baharu serta pameran khusus untuk EV, EV Fest yang akan mempamerkan pelbagai EV yang menyediakan mobiliti dengan jarak 400 kilometer pada satu caj tetapi dengan julat harga antara RM100,000 hingga RM500,000.
“Selain promosi industri automotif, agenda MARii adalah sejajar dengan tanggungjawab Malaysia berkaitan peralihan tenaga dan penyahkarbonan. Dalam hal ini, saya amat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa penganjur MIME 2023 telah memberi tumpuan kepada trend EV dan menyediakan lokasi pusat untuk untuk mempamerkan beberapa jenama EV terkemuka di dunia,” katanya.
Sementara itu, MARii turut bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa Malaysia dan Indonesia seharusnya bekerjasama dan bukannya bersaing dalam pembangunan EV.
Nizmar berkata pada masa ini MARii mempunyai libat urus dengan Institut Otomotif Indonesia (IOI) membabitkan program dan kolaborasi membabitkan pembangunan vendor EV antara kedua-dua negara.
Menurutnya, di Malaysia ketika ini terdapat kira-kira 38 pemegang kepentingan dan 641 vendor yang boleh melakukan pemindahan teknologi antara kedua-dua negara.
“Maksudnya apabila kita menuju ke arah EV, kita akan boleh meneroka pengetahuan berkaitan kenderaan generasi seterusnya, EV dan kenderaan autonomous masa depan. Malaysia mempunyai vendor yang mempunyai keupayaan di peringkat rantaian bekalan untuk membantu Indonesia dalam EV dan begitu juga sebaliknya.
“Jika ada persaingan pun mungkin membabitkan dua jenama utama iaitu Tesla dan BYD, yang mana kita lebih ke hadapan membabitkan Tesla kerana ia sudah komited untuk membuka ibu pejabatnya, pusat servis dan pusat pengalaman di Malaysia,” katanya. – BERNAMA