comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Lewat pelaksanaan penyelarasan subsidi punca Malaysia merosot dalam Indeks Daya Saing Dunia

Foto hiasan

Oleh: Fahiz Ariff, Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya kelewatan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi merupakan salah satu punca kejatuhan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia (WCR) 2024.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya laporan WCR 2024 masih mengekalkan Malaysia sebagai ekonomi yang stabil.

“Kita teliti laporan WCR 2024 dari Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) ini dan kalau dilihat perincian laporan itu, teguran keras yang menyebabkan kita merosot ialah kelewatan dan kurang ketegasan dalam pelaksanaan serta penyasaran subsidi.

“Kita ambil perhatian terhadap tiga perkara ini (prestasi ringgit, pengurusan ekonomi dan penyasaran subsidi).

“Cuma, saya ingin tekankan secara umum, laporan itu masih mengekalkan kedudukan kita sebagai ekonomi yang stabil.” jelas beliau ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengenai strategi kerajaan susulan kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga ke-34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu mekanisme penyelarasan subsidi juga berupaya meningkatkan prestasi ekonomi negara seperti Indonesia dan Thailand yang terdahulu telah melaksanakannya.

“Laporan IMD yang terakhir menyarankan penyelarasan subsidi. Sebab itu, dalam dua tahun lalu, Indonesia telah mengambil tindakan tegas terhadap harga beras, harga tepung, dan harga gula mereka.

“Hasilnya, prestasi mereka melonjak jauh berbanding Malaysia, begitu juga dengan harga barang di Thailand”, katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkaitan mekanisme penyelarasan subsidi yang tidak dilakukan kerajaan sebelum ini.

Terdahulu, menurut Laporan WCR yang dikeluarkan IMD, Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu.

Manakala, Singapura muncul sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia, mendaki empat anak tangga dari tahun sebelumnya untuk mengatasi Switzerland di tempat kedua, diikuti Denmark di tempat ketiga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini