comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia jadi tuan rumah CPOPC 2023, bincang kemajuan berkaitan sawit antara negara pengeluar

(Dua dari kiri) Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli mempengerusikan Mesyuarat Ke-25 Peringkat Pegawai Kanan di sini, hari ini.

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Malaysia mempengerusikan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) 2023 untuk membincangkan hala tuju serta meneliti kemajuan program berkaitan industri sawit.

Seramai 80 peserta terlibat dalam Mesyuarat Ke-25 Peringkat Pegawai Kanan (SOM25) hari ini dan Mesyuarat Ke-11 (MM11) Peringkat Menteri yang dijadualkan esok.

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), SOM dan MM merupakan platform bagi negara-negara ahli membincangkan hala tuju CPOPC pada setiap tahun.

“Mesyuarat SOM25 pada kali ini akan meneliti kemajuan program CPOPC seperti Kempen Positif Sawit, Rangka Kerja Global bagi Prinsip Minyak Sawit Mampan, status kemajuan pelaksanaan kajian-kajian di bawah Jawatankuasa Saintifik CPOPC, Program Kemajuan Pekebun Kecil, dan hal-hal pentadbiran CPOPC seperti Bajet dan Perancangan Kerja Tahun 2023 serta status keahlian CPOPC,” kata KPK apabila ditemui di Mesyuarat SOM25 di sini, hari ini.

Mesyuarat SOM25 dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Manakala Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KPK Datuk Seri Fadillah Yusof akan mempengerusikan MM11 pada esok.

CPOPC ialah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan oleh Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 untuk mempromosikan, membangunkan dan memperkuatkan kerjasama dalam penanaman dan industri kelapa sawit di kalangan negara-negara pengeluar minyak sawit.

Pada 28 Mac 2023, Honduras telah mengemukakan instrumen ratifikasi terhadap Piagam CPOPC dan secara rasminya menjadi ahli ketiga majlis tersebut.

Manakala, tiga negara pemerhati iaitu Colombia, Papua New Guinea dan Ghana sedang dalam proses untuk menjadi ahli penuh CPOPC.

Loading...
Terkini