![](https://media.buletintv3.my/2023/02/lYD7O4vw-CMS-PPZ-17.jpg)
PUTRAJAYA: Malaysia mengimport produk makanan bernilai RM75.6 bilion pada 2022 berbanding eksport bernilai RM44.6 bilion, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ini menjadikan perdagangan produk makanan Malaysia berjumlah RM120.2 bilion tahun lalu, peningkatan sebanyak 31.8 peratus atau RM29 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Industri makanan adalah antara penyumbang utama kepada ekonomi negara yang mempunyai permintaan yang tinggi dan berterusan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan yang tinggi dalam import berbanding eksport produk makanan telah mendorong peningkatan defisit perdagangan berjumlah RM31 bilion pada 2022.
Beliau berkata, sejak 32 tahun yang lalu, trend eksport dan import makanan di Malaysia dilihat tidak menentu dengan pertumbuhan eksport tertinggi dicatatkan pada 2008 (20.6 peratus) dan pertumbuhan import memuncak pada tahun lalu (41.3 peratus).
“Singapura kekal sebagai negara destinasi utama dengan sumbangan 19.1 peratus kepada jumlah eksport makanan Malaysia pada tahun lalu. China merupakan negara destinasi kedua tertinggi eksport makanan dengan nilai RM5.6 bilion.
“Negara asal utama produk makanan Malaysia pada 2022 didominasi oleh China bernilai RM8.7 bilion (11.5 peratus daripada import makanan), diikuti Argentina (RM7.9 bilion) dan Thailand (RM7 bilion),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Uzir berkata, industri pemprosesan makanan di Malaysia memainkan peranan penting terhadap pertumbuhan ekonomi, memberikan sumbangan 1.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai ditambah sebanyak RM28.1 bilion dalam sektor pembuatan pada 2022.
Beliau berkata, perdagangan buah-buahan Malaysia berkembang pesat daripada RM427.8 juta pada 1990 kepada RM6.1 bilion pada 2022.
Selain itu, katanya sektor daging di Malaysia turut mengalami pertumbuhan yang ketara dengan eksport meningkat daripada RM11.1 juta pada 2020 kepada RM21.3 juta pada 2022.