Oleh: Afrina Romzi
PULAU INDAH: Malaysia mengeksport getah asli yang mematuhi pensijilan Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) yang pertama ke pasaran Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ini menunjukkan komitmen negara terhadap Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), dengan pematuhan lebih awal daripada tarikh penguatkuasaan.
“Bulan lalu, Parlimen EU telah usul untuk menunda tarikh penguatkuasaan EUDR daripada 30 Disember 2024 kepada 30 Disember 2025 untuk syarikat besar dan 30 Jun 2026 untuk perusahaan kecil dan sederhana.
“Pelaksanaan MSNR merupakan satu inisiatif pematuhan yang penting bagi mewujudkan keyakinan terhadap penerapan amalan-amalan kemampanan,” katanya pada majlis pelancaran eksport pertama getah Malaysia mematuhi MSNR ke EU hari ini.
Tambah beliau, Lee Rubber Group (LRG) Sdn Bhd akan mengeksport 100 tan Getah Standard Malaysia (SMR) ke Slovakia manakala Seng Hin Rubber (M) Sdn Bhd akan mengeksport 100 tan SMR ke Belanda.
Kedua-dua syarikat memperoleh 100 peratus bahan mentah daripada estet dan pekebun kecil tempatan yang mematuhi MSNR.
Untuk itu, Malaysia mampu mengurangkan kebergantungan terhadap import getah dengan sasaran RM3 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding RM6 bilion ketika ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.