Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia dijangka terima 9.6 juta pelancong tahun depan

Foto Hiasan

Oleh:Juliana Pija Ismail

KUALA LUMPUR: Sejumlah 9.6 juta pelancong dijangka bakal tiba di Malaysia tahun depan berbanding 2.5 juta pelancong tahun lalu.

Menurut Kenanga Research, prestasi lebih baik ini didorong oleh pembukaan semula sempadan antarabangsa selain dipacu peningkatan penerbangan daripada penumpang perniagaan dan pelancong di peringkat global.

Selain itu, angka lebih tinggi ini turut didorong pembatalan keperluan kuarantin semasa ketibaan serta pembukaan semula ekonomi China yang menyumbang 12 peratus kedatangan pelancong di Malaysia.

Faktor ini turut menyokong pertumbuhan penumpang Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dan Capital A.

“Kami menjangka pengendalian penumpang di seluruh sistem MAHB masing-masing meningkat 29 peratus kepada 101 juta pada 2023 dan 15 peratus kepada 116 juta pada 2024, tetapi ia masih jauh untuk menyamai paras sebelum pandemik melanda iaitu 141 juta pada 2019″ jelasnya.

“Begitu juga, kami mengunjurkan perolehan daripada kilometer yang dilalui oleh penumpang (RPK) bagi keseluruhan sistem Capital A berkembang 52 peratus kepada 35 bilion pada 2023, tetapi ini masih kurang daripada paras RPK sebelum pandemik melanda iaitu 63 bilion pada 2019,” kata firma itu.

Cabang penyelidikan bank pelaburan itu turut mengulangi saranan ’neutral’ bagi sektor penerbangan.

Kenanga Research juga menyatakan bahawa kenaikan tarif yang diperlukan MAHB tidak akan berlaku, manakala pelan penstrukturan semula sedang dijalankan untuk mengeluarkan Capital A daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

“Walaupun permintaan meningkat, kami menjangkakan Capital A kekal mengalami kerugian dalam jangka pendek kerana ekonomi skala masih kurang dalam operasi penerbangannya manakala perniagaan digitalnya pula mempunyai tempoh pembangunan yang panjang. Syarikat itu merancang untuk menjual kumpulan penerbangannya kepada AirAsia X sebagai pertukaran bagi saham yang kemudiannya akan diagihkan kembali kepada para pemegang sahamnya,” tambahnya.

Butiran pelan penstrukturan semula itu dijangka diumumkan pada akhir Januari atau awal Februari 2023, dan selesai pada Julai 2023.

Loading...
Terkini