
Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi besar untuk menerokai komoditi kayu gaharu atau oud, dengan banyak peluang yang masih belum dimanfaatkan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kayu gaharu merupakan antara komoditi bernilai tinggi dengan anggaran pasaran global mencecah AS$1 bilion.
“Sebagai sebuah negara yang kini memberi tumpuan kepada produk bernilai tambah tinggi, saya amat berharap agar kayu gaharu mendapat pengiktirafan lebih besar dalam sektor ekonomi,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Agarwood: Diamond of the Forest, hari ini.
Beliau berkata, permintaan terhadap kayu gaharu semakin meningkat, khususnya dalam industri minyak wangi. Banyak jenama antarabangsa mula menjenamakan dan memasarkan minyak wangi premium berasaskan oud.
“Kegunaan kayu gaharu bukan sahaja terhad kepada industri farmaseutikal, malah ekstraknya, termasuk daripada daun gaharu, turut digunakan dalam bidang perubatan,” katanya.
Jelasnya, situasi ini membuktikan bahawa pokok gaharu semakin meluas penggunaannya dalam penyelidikan dan perniagaan, dengan potensi besar untuk menghasilkan pelbagai produk bernilai tinggi pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa amalan penanaman serta pengurusan lestari perlu diberi keutamaan, termasuk melalui penanaman pokok gaharu di ladang komersial sebagai alternatif kepada pengambilan gaharu liar dari hutan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.