Oleh: Afrina Romzi
BUTTERWORTH: Malaysia berpotensi menerajui pasaran pelayaran di ASEAN dengan unjuran pendapatan AS$305.40 tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd (Penang Port), Datuk Sasedharan Vasudeva berkata, Malaysia ketika ini di tangga kedua selepas Singapura di ASEAN dan mampu bertumbuh lebih pesat dengan sokongan kerajaan.
“Sebelum ini kami membangunkan industri dengan sendiri tetapi kini kami disokong oleh Majlis Pelayaran Malaysia. Kita mendapat sokongan besar daripada kerajaan yang mengiktiraf potensi pasaran pelayaran dan mereka telah menubuhkan majlis itu,” katanya kepada wartawan pada lawatan media ke Pelabuhan Pulau Pinang.
Tambah beliau, pelabuhan Pulau Pinang miliki potensi besar yang mengendali lebih 1.2 juta penumpang tahun lalu.
Syarikat juga melabur lebih RM100 juta untuk menaiktaraf Terminal Swettenham Pier sebagai strategi untuk menjadi hab pelayaran terkemuka di Asia Tenggara.
Segmen pelancongan pelayaran jelasnya bukan hanya menguntungkan syarikat swasta, malah dapat merancakkan ekonomi tempatan.
“Setiap ketibaan kapal persiaran membawa antara 4,000 hingga 6,000 penumpang, sekaligus memberi manfaat kepada perkhidmatan tempatan seperti makanan, pengangkutan dan penginapan,” jelas beliau.
Malaysia juga menjadi pilihan utama disebabkan oleh purata perbelanjaan pelayaran yang rendah pada AS$70, berbanding purata global pada AS$150.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.