Oleh: Suzila Idayu Yaacob
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menarik minat penyedia perisian pengurusan perniagaan terbesar dari United Kingdom, The Access Group, untuk menubuhkan pusat operasi global (GOC) di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Access, Chris Bayne berkata, penubuhan itu akan memanfaatkan persekitaran digital yang dinamik di Malaysia, di samping memperluas landskap perniagaan dan menyokong pengembangan syarikatnya secara berterusan.
“Jadi, saya rasa masa depan akan dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan perlu diadaptasi sebaik mungkin. Jika difikirkan, AI perlu diguna pakai untuk memangkin produktiviti perkhidmatan.
“Ini merupakan satu lagi pencapaian bagi Access untuk mempercepatkan pertumbuhan kami di rantau ini dan komitmen Malaysia untuk mewujudkan ekonomi berasaskan digital yang bernilai tinggi, sejajar dengan pelan pertumbuhan strategik kami.
“Access telah mengalami pertumbuhan yang pesat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan ini telah mewujudkan budaya yang menjadi kebanggaan kami,” katanya ketika Pelancaran Pusat Operasi Global (GOC) di sini, hari ini.
Jelasnya, penubuhan GOC yang baharu di Malaysia ini akan meningkatkan rangkaian pusat pembekal khidmat kongsi dan penyampaian perkhidmatan yang konsisten.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa berkata Kuala Lumpur terus menjadi pilihan syarikat multinasional membuat pelaburan dan mengembangkan perniagaan terutama dalam bidang digital.
Katanya, kemunculan syarikat besar luar negara untuk bertapak di Malaysia juga selari dengan usaha untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab perniagaan dinamik, di samping mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia yang bertujuan meletakkan negara dalam kalangan 20 ekosistem permulaan terbaik di dunia menjelang 2030, turut memberi peluang kepada bakat tempatan untuk mempertingkat kemahiran seiring revolusi teknologi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.