KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai kelebihan dalam memanfaatkan sepenuhnya potensi biojisim dalam industri sawit bagi mencapai pelepasan karbon sifar dan menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.
Presiden Persatuan Ahli Sains dan Teknologi Minyak Masak Malaysia (MOSTA), Tan Sri Profesor Emeritus Dr Augustine S. H. Ong, berkata biojisim berpotensi untuk membantu industri sawit mencapai pelepasan karbon sifar bersih, dengan setiap tan minyak sawit, kira-kira empat tan biojisim dihasilkan.
“Penggunaan biodiesel, biogas dan biojisim untuk bekalan tenaga utama Malaysia kini hanya satu peratus, meskipun ia mempunyai potensi untuk mencapai 25 peratus. Jadi, biojisim mempunyai potensi untuk membantu industri minyak sawit mencapai pelepasan sifar bersih sementara mempercepatkan perjalanan Malaysia ke arah menjadi ekonomi neutral karbon menjelang 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembukaan Kongres Minyak dan Lelemak Antarabangsa 2022 (OFIC 2022) anjuran MOSTA.
MOSTA juga mencadangkan penubuhan dana strategik RM20 juta setahun selama tiga tahun untuk meningkatkan produktiviti, teknologi dan inovasi dalam industri sawit.
Dana ini boleh ditadbir oleh kerajaan dan peserta industri dengan jawatankuasa pakar untuk mengkaji dan mempertingkatkan kecekapan peranan minyak sawit dalam menyumbang kepada perubahan iklim dan memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dana yang dicadangkan itu juga boleh menyediakan usaha hubungan komunikasi awam untuk menambah nilai dalam jaminan makanan. – BERITA HARIAN