comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Malaysia diaktifkan semula bagi perbincangan dasar industri maritim

Oleh Afrina Romzi

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan bakal mengaktifkan semula Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Malaysia (NSPC) sebagai platform perbincangan dasar industri maritim.

Mesyuarat pertama NSPC akan diadakan dalam dua bulan untuk menilai dasar serta mengetengahkan isu industri seperti pembiayaan bank.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan memerlukan input daripada pemain industri dan tidak mahu mesyuarat dijalankan secara ad hoc.

“Jadi ada majlis (NSPC) seperti ini, kita buat perbincangan secara teknikal dahulu. Selepas itu kita buat kertas pertimbangan. Kertas pertimbangan itu dibentang di majlis. Jadi apabila kertas pertimbangan itu dibincangkan di majlis, ia mendapat input daripada semua. Jadi kita boleh buat satu keputusan termaklum,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Persatuan Bunkering Malaysia (MBA) dan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) di sini, hari ini.

NSPC ditubuhkan pada 2018 semasa beliau memegang jawatan Menteri Pengangkutan ketika itu, dan telah mengadakan mesyuarat secara berkala.

Pengendali pelabuhan, pemain industri dan persatuan telah diminta hadir untuk membincangkan isu berkenaan untuk memastikan industri tempatan kekal kompetitif.

Loading...
Terkini