comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Majlis Kerjasama Ekonomi Digital Malaysia-China, PIKOM, sasar pelaburan RM100 bilion dalam 5 tahun

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Majlis Kerjasama Ekonomi Digital Malaysia-China (MCDC) mensasar potensi pelaburan RM100 bilion ke Malaysia dalam lima tahun menerusi inisiatif Inovasi RCEP dan Ekosistem Digital MADANI (Ride Madani).

Pengerusi Bersama MCDC, Wei Chuan Beng, berkata setakat ini, Ride Madani telah berjaya meraih antara RM2 bilion hingga RM3 bilion potensi pelaburan daripada 20 syarikat terlibat terutama bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Ride Madani turut disokong oleh Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM) untuk mencapai sasaran 100 syarikat dari negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) terutama China dalam lima tahun.

“Antara syarikat terlibat ialah Kairous Capital dan Comcom International bagi menubuhkan dana dwi-mata wang pertama di dunia (dalam RM dan renminbi), Dana Pembangunan Hijau dan Digital Malaysia-China dengan modal RM1 bilion, dan pelaburan RM600 juta oleh RunJian Corporation untuk menubuhkan pusat data kecerdasan buatan (AI) di Malaysia bagi membangunkan ekosistem AI di Malaysia dan negara anggota RCEP,” katanya kepada media selepas mengumumkan inisiatif Ride Madani pada Sidang Kemuncak Kepimpinan PIKOM 2023.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata inisiatif bukan kerajaan itu merupakan sokongan syarikat-syarikat dari China susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Mac lalu.

“Hasil lawatan YAB Perdana Menteri ke China pada Mac dan buah fikiran mereka untuk melahirkan Ride Madani ini untuk menghubungkan dana pelaburan dengan pemain industri supaya mereka dapat membantu dalam mengembangkan bidang ICT di Malaysia,” katanya.

Pengerusi Bersama MCDC yang mewakili China, Dr Lijin Yan, berkata perjumpaan peminpin Malaysia dan China pada Mac itu telah menarik minat syarikat China untuk melabur di Malaysia.

“Ini sebab kami ingin meningkatkan aktiviti pelaburan menerusi Ride Madani. Kami ingin menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan untuk negara anggota RCEP, malah menjadi hab kepada rantau lain seperti Asia Barat dan Eropah. Ini bermakna dari Malaysia-China kepada kesemua negara lain,” katanya.

Pengerusi PIKOM, Ong Chin Seong, berkata platform yang disediakan MCDC akan membolehkan Malaysia meningkatkan kerjasama dengan China, meneroka peluang untuk berkembang dan menembusi pasaran China dengan populasi yang besar.

“Dengan kepakaran dari China, ia dapat meningkatkan kumpulan bakat muda kerana Malaysia mempunyai kurang pakar IT. Jika kita ingin meningkatkan ekonomi digital negara, kepakaran adalah amat penting,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini