![Chang Lih Kang](https://media.buletintv3.my/2023/05/mKAfn2MS-CMS-PPZ-30.jpg)
Oleh Juliana Pija Ismail
KUALA LUMPUR: Operasi Kilang Lynas Malaysia Sendirian Berhad (Lynas) masih boleh diteruskan meskipun rayuan syarikat berkenaan berhubung keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom(AELB) sebelum ini ditolak.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, Lynas perlu memastikan loji cracking and leaching(C&L) di luar negara mula beroperasi kerana syarikat itu tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.
“Sebelum ini Lynas sudah menerima baik syarat ini dan kilang mereka Kalgoolie,Australia Barat pun hampir siap.Jadi, lanjutan ini adalah untuk memberi mereka ruang sekiranya kilang mereka gagal disiapkan sebelum Julai” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, di sini, hari ini.
Tambahnya, lanjutan tempoh operasi enam bulan yang diberikan kepada Lynas bertujuan mengelakkan rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global terkesan.
Keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira kepentingan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam selain menegaskan keputusan itu adalah muktamad.
Semalam, MOSTI memaklumkan rayuan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan AELB ditolak.
Rayuan itu ditolak selepas satu sesi pendengaran diadakan pada 28 April lalu bagi mendengar rayuan Lynas berhubung keputusan AELB itu.
Bagaimanapun, MOSTI bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi kilang C&L Lynas sehingga 31 Disember 2023.