Tumpuan :
Detik Niaga

LTAT nafi dakwaan punca CEO letak jawatan

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menegaskan pihaknya kekal komited dalam memastikan kemampanan dana jangka panjang selain terus meneroka semua pilihan pelaburan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk badan kawal selia dan Kementerian Pertahanan, seperti yang diamanatkan oleh Akta Tabung Angkatan Tentera (Akta 101).

LTAT berkata, penjelasan itu adalah selepas laporan sebuah portal berita baru-baru ini yang mengaitkan pengunduran Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman beberapa hari lalu sebagai tindak balas kepada penangguhan penstrukturan semula badan itu.

Katanya, keputusan pelaburan LTAT melalui prosedur yang mantap termasuk pelbagai proses kelulusan oleh jawatankuasa pelaburan, panel pelaburan dan lembaga pengarah.

LTAT juga, katanya mendukung rangka kerja peruntukan aset strategik dan disokong oleh pelbagai dasar dan garis panduan pelaburan.

Katanya, ini memastikan portfolio pelaburan yang sihat berbanding profil pulangan risikonya.

“Mengenai perkara yang berkaitan dengan penstrukturan semula Boustead Holdings Bhd, kami ingin menyatakan bahawa artikel itu mungkin menimbulkan gambaran yang tidak tepat.

“Ketika ini, tiada keputusan muktamad telah dibuat dan perkara itu masih dalam perbincangan dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

“LTAT memandang perkara ini sebagai keputusan struktur dan pelaburan yang akan melalui pelbagai proses dalaman dan luaran untuk memastikan ia dibuat demi kepentingan terbaik penyumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, LTAT berkata, langkah tegas sedang dilaksanakan melalui pembabitan bersama mengenal pasti dan mendapatkan penyelesaian yang optimum.

Penstrukturan semula Boustead katanya adalah komponen terbesar dalam Pelan Strategik LTAT 2023 – 2025 (MAMPAN25) bersama dengan pelbagai inisiatif lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini