KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan 13 Oktober ini dijangka memberi tumpuan kepada sektor perniagaan membabitkan perkhidmatan, runcit, hospitaliti, pembinaan dan teknologi hijau, demikian menurut penganalisis ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata belanjawan tahunan yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan memberi fokus dalam proses pemerkasaan B40 dan M40.
Justeru, katanya, dengan sektor yang mungkin memberi nilai tambah kepada golongan terbabit adalah perkhidmatan dan teknologi hijau atau tenaga boleh diperbaharui (RE) pada skala lebih kecil.
“Fokus yang akan menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2024 kemungkinan besar akan datang daripada proses pemerkasaan golongan B40 dan M40. Jadi sektor yang boleh memberi nilai tambah kepada golongan ini mungkin daripada sektor perkhidmatan, teknologi hijau atau RE,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, sektor yang berkemungkinan besar diberi perhatian itu akan menggunakan serampang dua mata, dengan impaknya dari sudut penawaran pekerjaan baharu atau latihan yang bersepadu bakal diutarakan.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata sektor peruncitan akan menjadi tumpuan disebabkan ia dipacu majoritinya oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ahmed Razman berkata, industri hospitaliti juga akan diberikan perhatian dalam Belanjawan 2024 memandangkan sektor ini dapat membantu meningkatkan ekonomi tempatan.
“Selain itu, sektor pembinaan juga akan dijadikan inti pati dalam belanjawan tahunan ini. Jika ia membabitkan sektor tenaga pula, ia lebih kepada tenaga hijau,” katanya.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Jemaah Menteri laksana sesi libat urus Belanjawan 2024 pertengahan bulan ini
- MOT cadang dana pembangunan maritim diteruskan dalam Belanjawan 2024
- Belanjawan 2024: Sabah dijangka terima peruntukan besar untuk pembangunan
- MOF lanjut tempoh cadangan Belanjawan 2024 sehingga 22 September
- MOF teliti maklum balas, cadangan berkaitan Belanjawan 2024
- 8,000 pihak berkepentingan, 10,000 maklum balas bakal bentuk Belanjawan 2024
- Belanjawan 2024 mampu jadi asas kebangkitan ekonomi negara
- Belanjawan 2024: KKD cadang geran khas permudah penggunaan 5G bagi PMKS