Tumpuan :
Detik Niaga

LIMA 2023 dijangka meterai MoU bernilai RM8 bilion

LIMA 2023 bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’.

KUALA LUMPUR: Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 dijangka memberi kesan ekonomi ke atas pemain dan vendor tempatan apabila beberapa memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai dengan nilai antara RM6 bilion dan RM8 bilion.

Pengarah Urusan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, Anita Jacobson, berkata MoU membabitkan sektor pertahanan dan komersial itu akan ditandatangani antara kerajaan dan syarikat, serta antara syarikat dan syarikat.

Katanya, kesan limpahan ekonomi terhadap pemain industri tempatan diunjur sekitar RM250 juta di sepanjang acara selama lima hari itu.

Mengenai penyertaan syarikat, beliau berkata pada masa ini, 600 syarikat telah mendaftar untuk menyertai dengan 70 peratus penyertaan daripada syarikat antarabangsa merentasi 30 negara dan 30 peratus lagi daripada syarikat tempatan.

“Kami melihat perniagaan aeroangkasa sekitar 60 peratus, dengan 40 peratus daripada industri maritim,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Anita berkata, Alpine yang menjadi penganjur LIMA 2023, yakin dapat menarik lebih banyak pelaburan asing, terutamanya dengan pembabitan pemain terbesar dunia seperti Airbus, Boeing, Embraer, Lockheed Martin dan peserta dari Turki.

LIMA 2023 membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa).

LIMA 2023 yang akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei depan adalah bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’.

Kali terakhir pameran dwitahunan itu dianjurkan adalah pada tahun 2019. – BERNAMA

Loading...
Terkini