comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

LHDN sasar 4,000 perniagaan jadi kumpulan pertama terbabit e-invois

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi

Oleh Juliana Pija Ismail

KUALA LUMPUR: Sejumlah 4,000 syarikat akan menjadi kumpulan pertama yang terlibat dengan pelaksanaan e-invois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mulai 1 Jun 2024.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nizom Sairi, projek rintis e-invois itu dijangka bermula Mac 2024 membabitkan syarikat yang sudah bersedia dengan sistem pembayaran cukai baharu itu.

“Kita dalam fasa pembangunan sistem e-invois dan mengharapkan ‘pilot’ atau ujian awal boleh dilaksanakan Mac tahun depan. Pelaksanaan pada Jun 2024 adalah fasa pertama dimana perniagaan dengan pendapatan RM100 juta akan diwajibkan untuk menggunakan sistem itu” katanya kepada media selepas sesi libat urus dengan petugas media dan wakil industri berkenaan e-invois di sini, hari ini.

Januari 2025 disasarkan bagi pelaksanaan mandatori bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM50 juta setahun.

Manakala Januari 2026 dilaksanakan mandatori bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM25 juta setahun dan menjelang Januari 2027, pelaksanaan mandatori bagi semua perniagaan.

LHDN juga sedang merangka libat urus dengan pelbagai pihak bagi mendapat maklum balas untuk memastikan pelaksanaan sistem baharu itu berjalan lancar.

Pelaksanaan e-invois dijangka meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai.

Ia juga mewujudkan transaksi perniagaan yang lebih telus sekali gus membantu kerajaan mengatasi masalah ekonomi bayangan dalam urus niaga.

Loading...
Terkini