Tumpuan :
Detik Niaga

LHDN pecah rekod tertinggi kutipan cukai RM183.3 bilion

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mencipta sejarah apabila mengutip RM183.3 bilion cukai tahun lalu, melepasi sasaran kutipan yang ditetap RM176 bilion dan menjadi satu lagi rekod tertinggi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, berkata kutipan tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.8 bilion atau 4.49 peratus berbanding 2022, menjadikannya tertinggi dalam sejarah.

Katanya, setiap ringgit yang dikutip oleh LHDN daripada pembayar cukai adalah penting dalam memastikan pembangunan dan kestabilan Malaysia.

“Saya bagi pihak LHDN ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar cukai yang gigih menyumbang kepada hasil negara dan memikul tanggungjawab sebagai pembayar cukai.

“Tidak dinafikan, setiap ringgit yang disumbangkan oleh rakyat kita adalah tidak ternilai dalam memastikan pertumbuhan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya pada taklimat media semalam.

Sasaran kutipan cukai yang ditetapkan LHDN bagi 2024 ialah RM197 bilion, mewakili pertumbuhan 7.47 peratus daripada jumlah tahun sebelumnya.

Menurut laporan sebelum ini, kutipan cukai oleh LHDN pada 2022 berjumlah RM175 bilion, berbanding RM144 bilion tahun sebelumnya.

Sementara itu, Abu Tariq menjelaskan, LHDN menerima 64,748 kes pengisytiharan sukarela, berjumlah RM573.476 juta daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada menerusi program pendedahan sukarela khas (SVDP) setakat 31 Januari.

Justeru, beliau menggesa pembayar cukai untuk mengambil bahagian dalam program itu bagi memastikan semua pendedahan yang dibuat di bawahnya akan dikecualikan daripada penalti.

“Ini berbeza dengan SVDP 1.0 yang berjaya mengutip RM7.88 bilion cukai, cukai tambahan dan penalti antara November 2018 dan September 2019.

“Tiada juga audit atau penyiasatan akan dijalankan ke atas pembayar cukai yang mengambil bahagian dalam program untuk tahun taksiran ke hadapan mereka,” katanya.

Program SVDP 2.0 bermula pada 6 Jun 2023 dan akan berakhir pada 31 Mei tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini