
KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan firma teknologi berpangkalan di Singapura, Agridence Rubber Pte Ltd, memeterai perjanjian kerjasama teknikal bagi membangunkan platform dagangan digital untuk getah asli mampan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, MRB dan Agridence berkata skop kerjasama itu membabitkan usaha mewujudkan sistem perdagangan dan kebolehkesanan serba lengkap dan bersepadu bagi menyelaras peralihan ke arah pematuhan aspek kawal selia serta mampan.
Projek selama setahun itu telah bermula pada 2 Okt, 2023.
“Matlamat akhir usaha itu adalah bagi mewujudkan Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) kepada pihak berkepentingan.
“Perjanjian ini menjadi satu detik atau pencapaian bermakna bagi industri getah dalam usaha menyepadukan sistem kebolehkesanan digital bagi menggalakkan lagi ketelusan dan kemampanan getah asli Malaysia,” kata kedua-dua pihak berkenaan.
Projek rintis antara LGM dan Agridence turut mengorak langkah dari segi membuka peluang bagi inovatif dan kolaboratif yang menumpukan aspek memanfaatkan teknologi dalam memudahkan perkongsian data lebih meluas serta penyepaduan sistem kebolehkesanan digital.
LGM juga giat mendigitalkan rantaian bekalan getah domestik menerusi inisiatif seperti Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) untuk pekebun kecil, permohonan RRIMniaga™ untuk peniaga, e-Rubber Processor (e-RP) bagi pemproses dan e-Rubber Manufacturer (e-RM) untuk pengeluar.
Usaha pendigitalan itu membolehkan kerjasama dengan Agridence dan memastikan ketampakan getah asli secara menyeluruh selain meningkatkan lagi inisiatif MSNR, kata kenyataan itu.– BERNAMA