comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Levi keuntungan luar biasa sawit perlu disemak semula, pastikan harga kompetitif

Datuk Seri Johari berucap pada Majlis Pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB hari ini. – FOTO: MPOB/ Facebook

Oleh: Afrina Romzi

BANGI: Levi keuntungan luar biasa (WPL) perlu disemak semula bagi memastikan harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia kompetitif berbanding negara pengeluar lain.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara itu sedang diteliti dan keputusan akan dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Kalau kita tidak kaji semula WFL ini, ia akan menyebabkan produk kelapa sawit yang bersaing dengan negara lain, contoh Indonesia merupakan pengeluar kelapa sawit nombor satu dunia dan kita nombor dua, yang mungkin kita tidak kompetitif.

“Sebab itu saya mahu tekankan bahawa, kita akan lihat, akhirnya keputusan nanti kita akan hantar kepada MOF untuk dinilai, macam mana kita boleh lihat semakan semula WFL ini dan secara tidak langsung boleh galakkan penanaman semula. Apabila produk ini menjadi kompetitif dan lebih banyak pihak akan melabur dalam tanah yang kita sudah ada,” beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Pemindahan Teknologi Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Datuk Seri Johari megulas jawapan beliau kepada soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai WPL dan sama ada pemain industri mendapat manfaat terutama dalam usaha mempercepat proses penanaman semula sawit di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meniliti semakan semula WPL ke atas minyak sawit di negara ini bagi pembentangan Belanjawan 2025, seiring dengan harga semasa komoditi itu.

“Dulu kos mengeluarkan minyak sawit kira-kira RM1,800 satu tan, tetapi kini boleh mencecah RM2,800 hingga RM3,200, bergantung kepada saiznya.

“Kos kita gunakan pada RM1,800 mungkin sesuai guna WPL, tetapi kini tidak lagi apabila dagangan pasaran kira-kira RM3,800 hingga RM3,900 dengan kos melebihi RM3,000,” katanya.

Kadar WPL semasa ialah sebanyak 3 peratus terhadap harga MSM melepasi RM3,000 satu tan metrik di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan metrik di Sabah dan Sarawak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini