PUTRAJAYA: Legoland Malaysia Resort komited untuk terus berada di Malaysia dan meneruskan operasi perniagaannya di negara ini untuk tempoh yang lama, sekali gus menamatkan spekulasi penjualan taman tema itu kepada pihak lain.
Pengarah Bahagiannya, CS Lim, berkata pihaknya tidak melayan khabar angin kerana telah beroperasi di Malaysia sejak 2012 dan terus menjalankan operasinya semenjak itu seperti biasa.
“Legoland sebenarnya diuruskan oleh Merlin Entertainments, bagaimanapun apa yang dikatakan dirancang oleh pemegang saham hanyalah khabar angin, kami tidak menyedari sebarang khabar angin dan terus beroperasi seperti biasa.
“Ya, kami komited (untuk beroperasi) di Malaysia, seperti anda boleh lihat ia adalah perjalanan jangka panjang yang mana anda tidak membina taman tema dan kemudian menjualnya.
“Malah, kami mempunyai perancangan lima hingga 10 tahun untuk mengembangkan taman tema ini menjadi lebih menarik pada masa depan,” katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Cabaran Sekolah Legoland 2023 di sini, hari ini.
Pertandingan berkenaan dianjurkan buat kali kedua yang mana pada kali ini turut terbuka kepada pelajar dari negara ASEAN buat kali pertama, termasuk sekolah dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Pada 2019, Khazanah Nasional Bhd dilaporkan sedang menimbang penjualan Legoland Malaysia Resort, yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion termasuk hutang.
Dalam pada itu, Lim berkata, Legoland Malaysia telah selesai memasang bumbung di beberapa lokasi di taman tema itu bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dari panas terik matahari dan hujan.
“Projek pemasangan bumbung ini sebenarnya telah bermula sejak 2018 dan sepatutnya siap pada 2020, tetapi disebabkan COVID-19, ia terpaksa ditunda sehingga ke tahun ini.
“Kami jangkakan pada tahun 2023, mampu kembali mencapai prestasi yang sama seperti sebelum COVID-19 dari segi jumlah pengunjung,” katanya.