KUALA LUMPUR: Lebih banyak syarikat di Malaysia sedang meneroka dan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) generatif ke dalam operasi perniagaan mereka, kata IBM Malaysia.
Berdasarkan kajian Institut Nilai Perniagaan IBM, lebih 40 peratus profesional ICT melaporkan bahawa organisasi mereka sedang meneroka secara aktif penggunaan AI generatif bagi memacu pertumbuhan perniagaan.
Pengarah Urusan dan Peneraju Teknologi IBM Malaysia Catherine Lian memberitahu agak mengejutkan apabila hampir satu pertiga syarikat dikaji telah menyepadukan AI generatif, menetapkan penanda aras baharu dalam inovasi dan kejayaan.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan harus dipuji kerana meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang AI.
“Kerajaan patut dipuji apabila memberikan tumpuan terhadap AI sebagai pemacu utama untuk pemulihan ekonomi, inovasi dan merapatkan jurang digital,” kata Lian.
“Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Malaysia 2021-2025 (AI-Rmap) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) mencerminkan visi kerajaan dalam menyepadukan AI merentas sektor, memupuk peningkatan produktiviti, menarik pelaburan antarabangsa selain merapatkan jurang dengan negara maju,” tambahnya.
IBM percaya bahawa AI menawarkan potensi yang besar untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan sasaran dasar Revolusi Perindustrian Nasional 4.0 (4IR) bagi peningkatan output sebanyak 30 peratus menjelang 2030 menggariskan peranan penting teknologi AI.
Resepi kepada penggunaan AI yang berjaya ialah data , kata syarikat itu.
“Tetapi tidak cukup dengan hanya mengumpul dan menyimpan jumlah data yang besar, perniagaan perlu mengakses, mentadbir serta menggunakan data ini dengan lancar dan selamat untuk memacu transformasi digital.”
BERNAMA