Tumpuan :
Detik Niaga

Lebih 100,000 transaksi aktiviti pasaran harta tanah bernilai RM57.15 bilion pada suku ketiga 2023

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Aktiviti pasaran harta tanah pada suku ketiga 2023 menunjukkan pertumbuhan positif dengan mencatatkan 108,955 transaksi bernilai RM57.15 bilion, kata Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Abdul Razak Yusak.

Beliau berkata peningkatan bilangan sebanyak 3.7 peratus itu diimbangi dengan kenaikan ketara nilai iaitu 22.6 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan pertambahan pindah milik menerusi jualan utama dalam negara.

“Subsektor kediaman terus menyokong keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah dengan mencatat 62.9 peratus iaitu 68,561 transaksi bernilai RM28.36 bilion daripada keseluruhan transaksi.

“Ini diikuti dengan sumbangan subsektor pertanian sebanyak 18.5 peratus dan gabungan subsektor perdagangan dan subsektor lain iaitu 18.6 peratus,” katanya ketika berucap bersempena dengan penerbitan pasaran harta tanah suku ketiga 2023 dan pelancaran Data Transaksi Terbuka Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) secara dalam talian hari ini.

Abdul Razak berkata kediaman teres masih menjadi pilihan pembeli dengan memperoleh 29,755 transaksi, sekali gus menyumbang sebanyak 43.4 peratus daripada keseluruhan transaksi kediaman.

Kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah pula masih mendominasi aktiviti pasaran dengan merekodkan 52.4 peratus atau hampir 35,948 transaksi, diikuti kediaman berharga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 24.7 peratus (16,947 transaksi) dan selebihnya unit berharga RM500,001 ke atas iaitu 15,666 (22.9 peratus) transaksi, katanya.

Menurut Abdul Razak pelancaran kediaman baharu pada suku ketiga merekodkan peningkatan hampir 6,900 unit berbanding 4,797 unit pada suku kedua 2023.

Loading...
Terkini