Tumpuan :
Detik Niaga

LCC bekerjasama dengan Labuan Corp pamer Industri Minyak Dan Gas Sabah 2023

LABUAN: Dewan Perniagaan Labuan (LCC) bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan untuk mempamerkan sektor industri minyak dan gas wilayah persekutuan itu yang sedang berkembang pesat di Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah 2023 (SOGCE).

Pengerusi LCC Daniel Doughty memberi tahu Bernama hari ini, gandingan bersama buat pertama kali antara kedua-dua entiti itu adalah bertujuan mengetengahkan potensi peluang pelaburan di Labuan menerusi penyertaan kedua-duanya di pameran berprestij yang berlangsung selama dua hari itu, bermula hari ini.

Beliau berkata penyertaan di SOGCE yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah itu akan menjadi platform yang sesuai untuk mempromosikan aktiviti berkaitan minyak dan gas, bagi mencerminkan komitmen untuk mengembangkan capaian Labuan dan menarik perhatian global kepada persekitaran perniagaannya yang rancak.

“Kerjasama ini merupakan bukti komitmen Labuan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Perbadanan Labuan komited untuk menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelabur sedia ada dan bakal pelabur, memastikan pengalaman yang lancar untuk semua pihak yang berminat.

Dengan lokasinya yang strategik, persekitaran cukai menggalakkan dan rangka kerja kawal selia yang teguh, Labuan telah lama diiktiraf sebagai destinasi pilihan untuk perniagaan yang mencari kelebihan daya saing dalam sektor minyak, gas dan tenaga di rantau Asia-Pasifik.

Doughty berkata LCC dan Perbadanan Labuan menyasar untuk mendapatkan ruang yang lebih luas bagi penyertaan lebih besar daripada sektor industri minyak dan gas pada pameran tahun depan.

Loading...
Terkini