Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 6.3 peratus masing-masing untuk simpanan konvensional dan simpanan shariah bagi 2024.
Dividen itu adalah yang tertinggi sejak tahun 2018.
“Jumlah agihan tertinggi sebanyak RM73.24 bilion itu memberi manfaat kepada 16.22 juta pencarum.” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP Ahmad Zulqarnain Onn ketika sesi taklimat prestasi kewangan KWSP di sini, hari ini.

Jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion bagi tahun lalu itu 11 peratus lebih tinggi berbanding RM66.99 bilion direkod tahun sebelumnya.
Setakat Disember 2024, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.25 trilion, di mana 63% daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.
Pelaburan domestik menjana RM37.02 bilion atau 49.7% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP.
Aset global pula menjana pendapatan sebanyak RM37.44 bilion atau 50.3% daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Daripada RM74.46 bilion jumlah pendapatan pelaburan keseluruhan, RM63.59 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM10.87 bilion adalah untuk Simpanan Shariah.
Bermula Januari 2024, KWSP telah memisahkan sepenuhnya portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.
“Langkah ini membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik tersendiri. Pemisahan ini juga meningkatkan kepelbagaian, memastikan aset di bawah Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional diagihkan dengan baik merentasi kelas aset, geografi, pasaran, dan industri bagi menjamin pulangan yang mampan.” jelasnya.
Pencarum boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara mulai esok (Ahad, 2 Mac).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.